Setelah mendapat keizinan untuk ke kedai di
seberang jalan, Humaira terus melangkahkan kakinya menuju ke kedai tersebut.
Baju yang bergantungan di luar kedai menarik perhatiannya. Terlintas hatinya
untuk menghadiahkan sepasang baju kepada Atif, anak saudaranya yang baru.
Saat kakinya melangkah masuk ke kedai tersebut, terus
matanya terpaku di koleksi pakaian kanak-kanak lelaki. Pakaian yang teramat
comel baginya, umpama pakaian tradisional lelaki cina dengan saiz kanak-kanak.
Fikirannya telah terbayangkan Atif yang semakin comel dengan pakaian itu.
Tangannya terus menyentuh baju tersebut, merasa material kain yang lembut dan
amat sesuai untuk kanak-kanak yang lasak.
“Macamana ni, siapa yang nak teman aku pergi
dinner tu? Syarikat kita mesti hantar wakil.” Keluh satu suara berhampiran
dengan Humaira. Keadaan kedai yang agak ramai, mungkin disebabkan waktu makan
tengahari membenarkan manusia-manusia dalam kedai ini untuk shopping.
“La, kau kan ramai awek.” Balas satu suara lain
sambil tergelak.
“Tu bukan awek aku. Hisy, tak nak aku dengan yang
pakaian tak cukup kain. Dah la tergedik-gedik semacam. Naik rimas aku.” Balasan
suara yang awalnya menyebabkan Humaira memandang sekilas terhadap mereka. Satu
senyuman dihadiahkan kepada mereka berdua saat kedua mereka berpandangan.
“Ha.. tak pun, kau pilih saje sesiapa yang dalam
kedai ini.” Balas sahabatnya selamba.
‘Apa gila punya mamat ni. Baik aku blah cepat.’
Getus hati Humaira.Usai memilih baju yang berwarna hijau, terus dia berpusing
untuk meninggalkan tempat itu untuk pembayaran.
“Ha, perempuan tu pun okey. Cik-baju-kurung!” Kedengaran
suara yang memberi idea memanggil.
‘Bukan aku, bukan aku.’ Tambah Humaira dalam hati.
Kakinya makin laju melangkah ke kaunter. Kalau ikut logik, memang dia je
perempuan dekat kawasan mereka berada tadi, dan ada dua orang lagi pelanggan di
kawasan sama, tapi mereka lelaki. Dan Humairalah yang mengenakan baju kurung
sebab mustahil bagi lelaki untuk berbaju kurung.
Sesampai di kaunter, terus Humaira meletakkan baju
yang di pilihnya sebentar tadi. Matanya mengerling keadaan sekitar. Kelibat dua
makhluk Allah tersebut tidak kelihatan. Nafas lega di lepaskan perlahan. Usai
membayar, dia melangkah seperti biasa umpama tidak perkara tersebut tidak
terjadi dihadapannya. Namun terbit senyuman lucu dibibirnya mengingatkan
situasi tersebut. Ada juga yang terdesak begitu. Dan yang paling penting, Humaira
merasa teramat lucu apabila diri ditimpa perasaan sedemikian rupa.
Baru beberapa langkah kakinya melepasi pintu kedai
tersebut, satu suara menegurnya.
“Cik baju-kurung-biru-tudung-hitam.” Terus dia
terkaku ditempatnya melangkah. Matanya turun naik melihatkan baju yang melekat
dibadan. Baju kurung biru. Sah. Tudung hitam. Betul.
‘Ilusi semata-mata.’ Putus hatinya. Kakinya terus
melangkah mengabaikan teguran yang entah siapa main tegur tadi.
“Cik baju-kurung-biru-tudung-hitam. Baik awak
berhenti dekat situ.” Terus kaki Humaira seperti dipaku ke lantai saat
mendengar suara yang sama lantang di belakangnya. Humaira tidak jadi berpusing
saat kedengaran lantunan tapak kaki yang mendekat.
‘Ya Allah, biarlah bukan mamat-mamat sewel tadi. Please,
please.’ Doa Humaira dalam hati. Dan doanya tidak terkabul. Jelas kelibat
dua manusia yang dia tidak ingin jumpa tadi.
“Awak la. Saya panggil kenapa buat tak tahu jea.
Bukannya ada orang lain yang pakai baju kurung biru tudung hitam macam awak.”
Terus lelaki berkemeja ungu menyerangnya.
‘Ewah engkau, macam aku kenal jea nak main
sembur-sembur anak orang.’ Rungut hati Humaira. Dia berdehem perlahan sebelum
mengukir senyuman.
“Kita kenal ke?” Soalan pertama dari Humaira
membuatkan lelaki berbaju ungu terkedu. Sahabatnya disebelah hanya tergelak
melihatkan suasana tersebut.
“Memang tak kenal pun.” Sahabat lelaki berbaju
ungu mengur, namun masih tidak hilang ketawanya.
“Kitorang nak minta tolong
sikit.” Sambungnya lagi.
‘Banyak cantik. Kenal pun tak terus nak minta
tolong.’
Tiba-tiba Humaira terasa seram sejuk. Mindanya
mengingati kembali perbualan dua sahabat tersebut didalam kedai tadi. Dan
lelaki berkemeja ungu itu yang buntu untuk memilih teman ke majlis makan malam,
dan sahabatnya yang baik hati itu terus mencadangkan untuk memilih sesiapa saja
yang ada didalam kedai itu.
Mata Humaira kembali menganalisis dua figura
didepannya. Menilai dengan mata hati dan mencerna dengan minda yang waras.
Berdasarkan pemerhatiannya, dua figura asing itu tampak tiada cacat celanya.
Namun, dia tidak mahu membuat keputusan pantas dengan memperjudikan diri
sendiri untuk satu kerja gila dengan orang yang langsung dia tidak kenal.
“Jangan bimbang cik, kami tak akan apa-apakan cik.
Hanya untuk satu malam itu je kami perlukan pertolongan cik.” Jelas si sahabat
berkemeja ungu.
“Amboi, awak ingat awak nak mintak tolong saya
jaga gerai sayur ke? Dah la tak kenal sape-sape, main terjah je mintak tolong.
Awak tau tak tu semua kerja..” Tak sempat Humaira menghabiskan ayatnya, lelaki
berkemeja ungu terus memintas.
“Okey.” Dia berhenti untuk menarik nafas. “Nama
saya Firdaus, dan ni kawan saya Hakim. Kitorang dari syarikat X, Y & Z. Construction
company. Dan saya nak mintak tolong cik...” Firdaus meluruskan ibu jarinya
ke arah Humaira.
“Humaira.” Balas Humaira pendek.
“Saya nak minta tolong cik Humaira untuk jadi
partner saya hanya untuk malam tu sahaja. Boleh?” sambung Firdaus hanya dengan
satu nafas. Perasaan malunya ditolak ketepi. Dan minda warasnya setuju dengan
kenyataan Humaira bahawa ni kerja gila, idea yang tak berapa nak bernas dari
Hakim. Dan dia tanpa berfikir panjang, terus termakan dengan idea gila itu.
“Dah kalau gitu, saya rasa encik ni banyak jea
kawan-kawan perempuan. Dan lagi pelik, kenapa encik ni tiba-tiba jea nak ikut
idea gila kawan encik ni, pilih orang yang tak kenal. Dan kalau ditakdirkan
tadi perempuan gila yang ada di tempat saya macamana?” Terus Humaira
melontarkan persoalan yang bermain dikepalanya. Firdaus yang mendengarkannya
tercengang di tempat dia berdiri.
“Saya bagi idea tu, sebab saya nampak cik ni
waras. Kalau cik ni perempuan gila, memang saya tak bagi idea tu.” Tanpa sempat
ditahan Firdaus, Hakim membalas tajam membuatkan mata Humaira membulat.
Tergamam dengan kenyataan itu.
“Okey. Saya dah buat keputusan. Maaf, saya
terpaksa tolak. Dengan perangai encik berdua ni macam tak cukup asam keping jea
sudah cukup untuk saya menilai encik berdua ni siapa sebenarnya.
Assalamualaikum.” Usai memberi salam, Humaira terus berpaling dan melangkah
meninggalkan mereka berdua.
“Cik Humaira!” panggil Firdaus kuat. Humaira hanya
memekakkan telinganya sahaja dan tidak mempedulikan dua lelaki sewel itu.
Kebetulan baginya jalan raya yang lengang memudahkannya untuk melintas ke
seberang jalan. Dari jauh, dia sudah nampak ayahnya memandang dengan pandangan yang
pelik. Humaira hanya melemparkan senyuman sehinggalah dia sampai ke kawasan
parkir kereta ayahnya.
“Kenapa tadi? Dari jauh lagi ayah dengar ada orang
jerit panggil nama Maira.” Terus Encik Adam melontarkan soalan tanpa sempat Humaira
membuka cerita.
“Entah, lelaki-lelaki sewel. Dah la ayah, tak
payah nak layan sangat la.” Humaira terus memboloskan diri ke dalam kereta.
Malas untuk membuka bicara di tempat yang tak sesuai ini. Setelah beberapa
ketika, Encik Adam masih belum memasuki kereta. Humaira melilaukan matanya ke
sekitar. Serasanya, ayahnya dah habis membeli sementelah adiknya sedang enak menikmati
aiskrim di tempat duduk belakang.
Darahnya terasa berderau saat matanya menangkap
kelibat ayahnya dengan lelaki berkemeja ungu.
Dan pada saat itu, matanya sedang bertentangan dengan mata lelaki itu.
Dilihatnya tangan lelaki itu menunjuk-nunjuk kearah keretanya, atau lebih tepat
kearah dirinya. Tidak lama kemudian, dia nampak senyuman lelaki itu dan
anggukkan di kepalanya. Mata Humaira masih memerhati gerak geri lelaki itu
sehinggalah lelaki itu mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya.
‘This IS SO NOT good!’ Getus hati Humaira.
Tangannya pantas ingin membuka pintu kereta, namun
tindakannya terhenti saat melihat ayahnya sedang berjalan ke arah kereta dan
lelaki tersebut masih tidak lekang dengan senyuman.
“Kenapa dengan orang tu?” soal Humaira saat
ayahnya memasuki kereta.
“La, Maira tak kenal ke Firdaus? Bukan ke dulu Ira
dengan Firdaus ni rapat ke? Ala, anak Uncle Fateh yang dulu sambung
study di UK. Ni mesti dah tak ingat, kan?” jawapan ayahnya membuatkan Humaira
terkejut di kerusinya. Mindanya berputar kembali mengingati zaman kanak-kanak
riangnya. Yang paling menerjah ingatan hanyalah Haikal, dan tiada yang nama
Firdaus. Humaira menggeleng kepalanya menandakan memorinya tidak mampu
mengenalpasti siapa Firdaus di zaman kanak-kanaknya.
“Apa yea nama yang Maira panggil dia. Maira tak
panggil nama Firdaus, sebab Maira ni, pandai sangat nak bagi nama gelaran kat
kawan-kawan.” Sambung Encik Adam lagi. Matanya mengerling cermin pandang
belakang untuk mengundurkan kereta. Humaira yang mendengarkan kenyataan
tersebut semakin mengerutkan dahi, tanda tidak ingat.
“Tak pe la. Nanti-nanti ingat la tu.” Putus Encik
Adam, tidak ingin memaksa Humaira untuk mengingati siapa Firdaus. Senyuman
kecil lahir dari bibir Encik Adam tanpa Humaira menyedarinya.
t.b.c.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan